Tuesday, June 30, 2009

Hiperhidrosis ganggu hidup


Pernah tak korang sume rase berpeluh di tangan or kaki yg membuatkan korang rase tidak selesa? haaaa...macam tuh la aku rase. Rase x selesa ok. Tapi aku ni x de la setiap masa berpeluh. Tapi bila dikala aku berada di tempat yang panas dan melakukan aktiviti berjalan banyak. Nak pakai pump shoes pon terbatas sebab rase berpeluh dan boleh menyebabkan bau yg kurang enak pada kaki. euuuwwww~ so sbb tuh skrg ni kalau keluar pakai selipar wedges je. Nak pakai wedges or heel sket pon x selesa sbb bile berpeluh, kaki ni rase nak meggelongsor..haiiiiihhh~~ tension gue~


Kata orang, berpeluh apabila melakukan aktiviti, itu tandanya kita sihat kerana peluh antara cara badan mengeluarkan bahan toksik. Namun, sesetengah orang mengalami masalah berpeluh keterlaluan sepanjang masa sehingga menyebabkan mereka berasa kurang keyakinan diri. Keadaan berpeluh berlebihan ini dipanggil hiperhidrosis. Masalah berpeluh ketika berasa gementar, takut atau cemas dialami hampir semua orang tetapi bagi individu hiperhidrosis, badan mereka menghasilkan peluh berlebihan sehingga boleh menitis *tapi aku xdela sampai menitis..huhu* jika tidak dikeringkan segera.

Hiperhidrosis dialami berjuta-juta orang di seluruh dunia. Kajian menunjukkan 2.8 peratus penduduk Amerika Syarikat mengalami masalah ini dan prevalensnya lebih tinggi di kalangan penduduk Asia Tenggara iaitu tiga peratus. Hiperhidrosis tidak dikategorikan sebanyak penyakit berbahaya, tetapi ia boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada penghidapnya. Terlalu banyak berpeluh, terutama pada muka, tapak tangan, ketiak dan kaki boleh mengganggu kehidupan seseorang kerana ia menimbulkan tidak selesa, malu, kurang yakin dan rendah diri untuk berdepan masyarakat.

Menurut Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Dr Jeswant Dillon, hiperhidrosis boleh berlaku pada lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur, tetapi biasanya ia bermula sejak kecil dan akan kekal sepanjang hayat jika tidak dirawat. Katanya, hiperhidrosis dibahagikan kepada dua jenis, iaitu primer (atau idiopatik iaitu tidak diketahui puncanya) dan hiperhidrosis sekunder yang disebabkan penyakit lain seperti hipertiroirdisme, kencing manis, tuberkulosis (batuk kering), limfoma, obesiti, kehamilan serta menopaus.

Biasanya hiperhidrosis berlaku pada empat bahagian utama iaitu muka, ketiak (aksilari), tangan (palmar) dan kaki (plantar). Bahagian ini akan mengalami masalah peluh berlebihan sehingga boleh menitis. Ada pesakit yang datang berjumpa saya terpaksa memakai plastik dalam kasut bagi menadah peluhnya. Ia masalah memalukan yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan kerja. Walaupun prevalens rendah iaitu hanya tiga peratus daripada jumlah penduduk, ia membabitkan jumlah besar iaitu lebih 700,000 orang di negara kita, katanya.



Punca sebenar hiperhidrosis tidak diketahui dengan tepat, tetapi ada beberapa kemungkinan yang menyebabkannya. Ia mungkin disebabkan penyakit ekrin kelenjar peluh di seluruh badan, tetapi paling banyak di tapak tangan dan kaki. Kemungkinan kedua ialah aktiviti saraf simpatetik keterlaluan yang memberi rangsangan kepada kelenjar peluh yang normal, menyebabkan kelenjar menghasilkan banyak peluh dalam masa singkat. Namun, tiada siapa tahu bagaimana dan apa menyebabkan saraf simpatetik bertindak keterlaluan.

Dr Jeswant berkata, hiperhidrosis boleh diwarisi. Kira-kira 25 hingga 50 peratus pesakit mempunyai sejarah keluarga mengalami hiperhidrosis. Anak yang dilahirkan ibu bapa hiperhidrosis mempunyai kebarangkalian 25 peratus mendapat masalah sama. Masalah ini berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun dan biasanya bermula ketika mencecah 25 tahun. Namun, hiperhidrosis boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja.

Ia hanya menjadi masalah besar apabila gejala peluh keterlaluan ini mula mendatangkan rasa tidak selesa, mengganggu perjalanan aktiviti harian, menjejaskan prestasi kerja dan membuatkan seseorang kurang keyakinan diri. Badan pesakit boleh mengeluarkan banyak peluh dalam hampir semua keadaan, walaupun duduk dalam bilik berhawa dingin. Ia bukan saja dipengaruhi keadaan persekitaran, malah perubahan emosi seperti resah, gelisah, gementar, sedih dan gembira pun badan mengeluarkan banyak peluh.

Beban pesakit

Tidak dapat melakukan aktiviti harian.

Perasaan malu apabila baju dan tapak tangan basah.

Perlu kerap menukar baju dan stokin (lebih dua kali sehari).

Enggan bersalaman atau berjabat tangan.

Banyak aktiviti harian tidak dapat dijalankan.

Prestasi dan produktiviti terjejas.

Boleh membahayakan nyawa jika pekerjaan pesakit berkaitan dengan elektrik.

Malu menyertai aktiviti sosial keluarga dan rakan.

Tertekan.

Kecewa dengan diri sendiri.

Kurang keyakinan diri.

Kulit menjadi kurang pejal akibat sentiasa lembap.

Kelembapan berpanjangan tingkatkan risiko jangkitan bakteria dan kulat.

Masalah dalam hubungan intim.

Masalah dihadapi lelaki dan wanita adalah sama. Pada umumnya pesakit berasa kurang selesa bergaul dengan orang lain, terutama rakan baru yang tidak tahu masalah mereka. Bahkan ada pesakit terpaksa memilih pakaian berwarna gelap untuk melindungi perkara ini dan berasa tidak selesa untuk duduk berdekatan orang lain.

Selain berdepan masalah ketiak sentiasa basah, mereka perlu lebih kerap menukar stokin bagi mengelakkan gejala kaki berbau. Pada masa sama pilihan untuk kasut juga terhad akibat peluh berlebihan pada kaki.

Rawatan

Jika anda turut mengalami masalah ini, jangan risau kerana ia boleh dirawat. Rawatan dibahagikan kepada dua iaitu bukan pembedahan (luaran, ubat makan, iontoforesis atau pengionan serta suntikan Botulinum toksin) dan pembedahan.

Dr Jeswant berkata, jenis rawatan bergantung kepada tahap masalah. Jika masalah hanya sedikit, mereka diberi ubat sapu atau anti peluh mengandungi aluminium klorida. Kaedah kedua pula ialah ubat makan mengandungi ejen anti kolinergik seperti glycopyrrolate dan amitriptyline bagi mengehadkan aktiviti saraf. Bagaimanapun, kesan sampingannya yang ketara menyebabkan ubat kaedah ini kurang popular.

Kaedah pengionan juga kurang digemari kerana kulit berasa sakit apabila dikenakan arus elektrik. Lagipun, kaedah ini mengambil masa panjang dan perlu diulang. Suntikan Botulinum Toksin A sering digunakan untuk merawat hiperhidrosis aksilari dengan melumpuhkan saraf yang merangsang kelenjar peluh. Namun kaedah ini juga kurang praktikal kerana ia bukan saja mahal, tetapi menyebabkan rasa sakit dan perlu diulang setiap empat hingga enam bulan.

Cara terbaik ialah menjalani pembedahan endoskopi torasik simpatektomi (ETS) yang mengambil masa sejam. Pembedahan dapat mengatasi masalah tangan berpeluh hampir 99 peratus, ketiak berpeluh (90 peratus) dan kaki berpeluh sebanyak 70 peratus.

Pembedahan memberi kesan serta merta dan sepanjang hayat. Ia dilakukan menggunakan kaedah pembedahan lubang kunci (pembedahan minimali invasif) iaitu membabitkan luka kecil kira-kira 0.5 sentimeter, kurang sakit dan cepat sembuh. Malah tempoh pesakit tinggal di hospital juga singkat iaitu antara tiga hingga empat hari saja. Kesan luka pembedahan di bawah ketiak dapat dilindungi dan ini penting bagi pesakit, terutama perempuan, katanya.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua pesakit perlu dibedah kerana pembedahan adalah jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah hiperhidrosis. Bagi individu yang mengalami masalah ini, Dr Jeswant menyarankan mereka mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu dan jangan biarkan ia berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan. Rawatan boleh didapati di IJN dan pusat itu menjalankan lebih 260 pembedahan hiperhidrosis sejak ia diperkenalkan pada 1995.

happy healthy women! ;)


sumber: The New Straits Times Press (M) Berhad