Saturday, February 20, 2010

Siapa berani mula?





Lelaki atau perempuan yang perlu ambil langkah pertama? Tidak semua orang berani meluahkan perasaan kepada orang lain, apatah lagi jika mahu menyatakan hati sudah terpaut kepada empunya diri. Pada era siber ini, tanggapan lelaki harus mula dulu mungkin tidak boleh diterima lagi. Mengapa tidak? Wanita semakin ramai mencapai kedudukan tinggi, bukannya hanya duduk di rumah dan menanti lamaran jejaka. Maka tercetuslah polemik siapa patut mulakan dulu - lelaki atau wanita? Jangan tidak tahu, ada wanita hari ini berani meluahkan perasaan kepada lelaki diminati. Individu seperti ini rela menerima sebarang reaksi daripada si jejaka asalkan apa yang terpendam, sudah diluahkan. Namun, masih ramai berpegang kepada amalan tradisi. Lebih manis, jika lelaki yang mengambil langkah pertama jika tidak, digelar pula pergi mencari timba!


Bagi pendapat aku, wanita lebih berani mengambil langkah mula dan menyatakan perasaan mereka. Ini kerana kebanyakan wanita bersikap terbuka. Kebanyakan lelaki pula ada sikap ego ketika berdepan situasi ini. Apa yang membuatkan kebanyakan lelaki tidak berani mula dulu kerana mereka takut jika wanita yang diminati, tidak suka kepada mereka. Malah, segelintir lelaki mudah tercabar apabila cinta mereka ditolak. Ramai lelaki sekarang takutkan komitmen. Jadi, mereka tidak berani memulakan hubungan walaupun mereka sangat menyukai wanita terbabit. Disebabkan itulah, kita dapat melihat semakin ramai wanita berani meluahkan perasaan kepada individu yang disukai. Wanita sekarang bukan saja berani menunjukkan keupayaan dalam bidang pekerjaan, malah berani menjadi pihak yang meluahkan rasa hati kepada insan yang disukai. *wah..ni macam nak boikot lelaki ni..kui3..;D*


Tetapi secara am, aku berpendapat lelaki selalunya lebih berani untuk menjadi orang yang mula berterus-terang mengenai perasaan mereka. Ini kerana lelaki lebih ekspresif dan terbuka berbanding wanita dalam hal sebegini. Tetapi, biar apapun, siapa yang memulakannya dulu tidak penting. Terpulang kepada individu itu sendiri, sama ada lelaki atau wanita. Jika mereka sedia dan berani untuk berterus-terang, teruskan saja. Sekarang, sudah ramai wanita tidak kisah untuk memulakan hubungan atau berterus-terang mengenai perasaan mereka kepada lelaki. Seperti yang dikhabarkan, sesetengah juga lelaki suka kepada wanita yang berani menyatakan perasaan. Namun, lazimnya wanita melihat kepada situasi. Jika melihat perkenalan itu berpotensi menjadi lebih serius, barulah mereka luahkan perasaan.


Zaman ini berbeza dengan zaman dulu. Jika sudah terlalu suka kepada seseorang, mengapa perlu dipendamkan? Berterus-terang saja tanpa memikirkan siapa yang harus memulakan dulu. Tengok keadaan jugalah...Seseorang itu harus mencari waktu yang sesuai untuk meluahkan perasaan mereka kepada insan disukai. Bagi aku, tidak ada salahnya jika wanita yang memulakan langkah pertama. Lelaki harus lebih gentleman dan menjadi pihak yang mula menyatakan perasaannya. Ini kerana kebanyakan wanita malu untuk berbuat demikian, walaupun hakikatnya mereka mahu. Jika lelaki berani untuk meluahkan perasaan mereka kepada wanita, ia secara tidak langsung menunjukkan mereka ikhlas dan serius dalam menjalin hubungan.

Bagaimana pula dengan anda?