Ahli psikologi menyatakan, antara faktor seseorang itu boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh dengan pasangannya adalah kerana unsur berdekatan dan sering berada serta banyak menghabiskan masa bersama di tempat yang mereka kerap bersua muka. Berdasarkan teori itu, tidak hairanlah jika ramai pasangan yang boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh di tempat kerja sehingga sepakat mendirikan rumah tangga. Bermula usik mengusik, keluar makan dan kerap membuat aktiviti bersama serta bertentang mata setiap hari, tidak mustahil hati mula terpaut.
Menamatkan percintaan di pejabat, pasangan akhirnya melangkah ke gerbang perkahwinan. Kata orang, suasana ketika dilamun cinta tidak sama berbanding selepas berkahwin. Oleh kerana itulah selepas berkahwin, ramai juga yang kurang senang bekerja di bawah satu bumbung, lebih-lebih lagi jika berada dalam jabatan sama. Alasannya, kerap berjumpa dan bertentangan mata, di rumah dan kemudian di tempat kerja boleh menyebabkan pasangan berasa bosan, meskipun ketika dilamun cinta itulah yang dirindui serta diharapkan selalu berlaku. Lalu, ada yang mengambil keputusan seorang perlu berhenti kerja atau pun mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Ada juga berpendapat, apabila bekerja di tempat yang sama sudah tentu langkah dan gerak-geri tidak sebebas dulu. Bagi si isteri, ada yang berasa serba salah hendak berbual berlebih-lebih dan keluar makan bersama rakan sekerja lelaki. Walaupun tidak melakukan kesilapan, si isteri berasa perlu menghormati orang dikasihi dan turut bimbang soal cemburu akan timbul apabila melihatnya berjalan beriringan, seolah-olah tampak mesra dengan lelaki lain sedangkan suami sendiri ada di depan mata.
Justeru, sesetengah pihak berpendapat memilih untuk tidak bekerja di tempat sama. Isteri tidak nampak kelibat suami dan begitulah sebaliknya. Tetapi apabila suami atau isteri berada di tempat kerja masing-masing dengan berpaksikan saling mempercayai antara satu sama lain bolehlah buat hal sendiri selagi ia tidak melanggar batas-batas yang ditegah agama mahupun budaya. Habis kerja, di rumah barulah bersua muka dan menjalankan kehidupan seperti suami dan isteri. Sekurang-kurangnya rasa rindu tu timbul la sedikit. ;)