Saturday, February 20, 2010

Hadiah Terbaik Lelaki





Sudah namanya lelaki, kadang kala sukar bagi wanita memahami peribadi dan perlakuan golongan berlawanan spesies dan jantina ini. Saban hari, ada saja isu berkaitan lelaki dibangkitkan. Soal gaya, cita rasa dan keinginan lelaki sering menjadi topik perbualan wanita termasuk mereka yang sudah lama hidup berumah tangga dan berkongsi segala-galanya dengan lelaki. Sifat dan keinginan lelaki yang sukar dijangka kadang kala merumitkan lagi usaha berdamping dengan golongan Adam ini. Meniti senarai perkara mengenai lelaki yang sukar dimengertikan, isu mencari hadiah untuk jejaka misalnya, boleh mencetuskan kebuntuan setiap kali tibanya hari jadi, ulang tahun perkahwinan atau detik istimewa yang mahu dikongsi bersama lelaki. Andai wanita jatuh cinta dengan barangan yang mahu dihadiahkan kepada teman lelaki, belum tentu si jejaka yang berjiwa kompleks gembira menerima pemberian itu. Silap hadiah, timbul pula perselisihan dek si dia berkecil hati andai hadiah yang diberi tidak begitu digemari kerana tidak memenuhi kehendak jiwa teman lelaki. Dalam hal ini, tidak semestinya hadiah yang diberi berharga mahal atau produk berjenama mewah. Sebaliknya, apa yang lebih penting, lelaki merasa puas dan gembira dengan hadiah yang diberi sekalipun sekadar kemeja T murah.


Sehubungan itu, dalam melerai kekusutan mencari hadiah untuk jejaka idaman, wanita disaran mengkaji terlebih dahulu peribadi si dia termasuk tingkah laku, minat dan hobi lelaki. Dengan mendasari peribadi dan minat lelaki, tidak sukar wanita memilih hadiah terbaik untuk diberikan sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Mengulas soal hadiah sesuai untuk lelaki, tidak kira lelaki atau wanita, faktor kriteria serta bajet perlu diambilkira dalam memilih hadiah sesuai. Secara psikologi lelaki tidak terlalu mengambil peduli soal jenis atau bentuk hadiah kerana bagi mereka, aspek hati dan niat pemberi lebih diutamakan. Berbanding wanita, bentuk hadiah kepada lelaki lebih menjurus kepada hubungan fizikal dan kaitan perhubungan yang terjalin. Ini sama ada membabitkan rakan sosial, teman emosional mahupun sebagai teman intim.



Erti hadiah yang diterima dalam konteks jantina lelaki dan wanita, hadiah bagi lelaki lebih bersifat faktor luaran atau tersurat kerana setiap hadiah diterima dengan hati terbuka. Wanita pula mempunyai sifat yang lebih tersirat. Bagi wanita, bukan soal jenis hadiah yang perlu sempurna sebaliknya setiap bentuk dan warna dalam hadiah yang diberi mempunyai erti besar dalam pemikiran dan naluri diri wanita. Nampak sedikit cerewet tetapi wanita lebih beremosi dan cukup mengambil berat soal hadiah dalam apa juga keadaan. Mengenai hadiah yang sesuai buat si jejaka, adalah penting untuk wanita mengkaji sifat serta karektor lelaki bagi menentukan konsep hadiah sesuai untuk si dia. Sebagai contoh, katanya, wanita boleh menentukan asas warna, bentuk dan fungsi hadiah yang difikirkan sesuai buat lelaki. Biasanya lelaki kurang cerewet dalam soal hadiah yang diperoleh kerana percaya kepada tanda ingatan dan niat si pemberi hadiah. Wanita pula seharusnya bijak memilih hadiah sesuai serta memastikan ia mewakili nilai hubungan antara lelaki dan wanita... Barulah pemberian itu bermakna antara dua pihak.




Melalui pemilihan hadiah yang tepat, wanita bukan saja memahami cita rasa dan minat sebenar lelaki, malah lelaki dan wanita dapat membentuk perhubungan ideal. Biarpun hadiah menjadi tanda keikhlasan pemberi, nilai sentimental serta bentuk yang cuba dipersembahkan dalam hadiah memiliki pengertian lebih besar ertinya bagi lelaki. Ini terutamanya jika hadiah yang diberikan menjadi idaman lelaki sekian lama. Mungkin selain kemeja, kasut, set minyak wangi dan jam tangan, barangan lain yang memenuhi karektor lelaki boleh dijadikan idea hadiah yang baru dan segar. Siapa sangka, hadiah unik seperti sport rim, jersi bola sepak edisi terhad mahupun tiket Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix 2010 di Sepang boleh menggembirakan si dia. Bukan sahaja mencipta kejutan, hadiah istimewa itu pasti mengeratkan lagi hubungan intim anda berdua! Ish3....akan tetapi kalau nak dibuat perbandingan yang boleh aku kaji, barangan lelaki nak ikotkan lebih mahal berbanding wanita. Mereka lebih mementingkan kualiti. Jarang shopping tapi sekali shopping memang berbalo-baloi.. ;D